Tourism Malaysia Anjur Program 'Cuti-Cuti Malaysia Travel Fair 2019' Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 | Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Haji Yusof hari ini telah merasmikan program ‘Cuti-Cuti Malaysia Travel Fair 2019’ di IOI City Mall, Putrajaya. Program ini dianjurkan bagi menarik minat rakyat Malaysia khususnya penduduk di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang dalam usaha untuk menggalakkan pelancongan domestik serta meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai produk pelancongan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Program ‘Cuti-Cuti Malaysia Travel Fair 2019’ ini akan diadakan di pusat membeli belah IOI City Mall, Putrajaya selama tiga hari dari 1 hingga 3 November 2019. Sebanyak 30 syarikat yang terdiri daripada agensi pelancongan, hotel serta pengusaha produk yang menawarkan 100% pakej pelancongan domestik akan menyertai pameran pelancongan ini dengan sasaran jualan pakej sebanyak RM 1 juta.


“Kita ingin menarik minat penduduk sekitar Putrajaya yang terdiri daripada penjawat awam dan penduduk sekitar Lembah Klang untuk mengambil peluang membeli pakej pelancongan domestik pada harga yang amat berpatutan,” jelas Datuk Musa semasa sidang media di IOI City Mall, Putrajaya hari ini.

Para pempamer yang telah dijemput untuk menyertai program ini merupakan para penggiat industri pelancongan dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada pengusaha agensi pelancongan dan pengusaha produk pelancongan. Bagi menggalakkan lagi sambutan program ini, setiap pembelian pakej pelancongan berjumlah RM500 dan ke atas akan berpeluang mendapat barangan eksklusif dari Tourism Malaysia.

Selain jualan pakej domestik ke seluruh Malaysia, program ini turut menampilkan sesi bersama artis seperti Alif Satar, Zahirah Macwilson, Marsha Milan, Izzue Islam dan Adeline Tsen. Di samping itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan Beyblade terbuka umum.


Datuk Musa berharap agar seluruh warga Putrajaya dan Lembah Klang mengambil peluang ini untuk merancang percutian domestik serta mengambil manfaat dari pengisian program yang disediakan. Jelas beliau lagi, program ini merupakan salah satu inisiatif Tourism Malaysia untuk meningkatkan pelancongan domestik sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan industri pelancongan tempatan, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan terpilih bagi pelancong dari dalam dan luar negara.

Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/